skype show

79 peratus Perantis BeST 2.0 peroleh kerja tetap

KUANTAN, 2 April (Bernama) – Lima puluh daripada 63 siswazah atau 79 peratus yang menyertai program Kerjaya dan Keusahawanan Bioagrotek dan Biofarmaseutikal (BeST 2.0) kendalian Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation), berjaya memperoleh kerja tetap dalam bidang pertanian moden dan biofarmaseutikal.

Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata BeST 2.0 dapat mengurangkan masalah pengangguran dalam kalangan siswazah yang sukar memperoleh pekerjaan, dan pendapatan diraih setimpal kelulusan khususnya dalam dua bidang tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd Khairul Fidzal berkata 39 daripada mereka memperoleh pekerjaan dalam sektor pertanian dan akuakultur, manakala 11 orang lagi dalam bidang biofarmaseutikal, dengan pencapaian kedua-duanya melebihi sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan pada 2021.

“Kami bekerjasama dengan syarikat swasta bagi membekalkan siswazah yang berkemahiran, berpengetahuan dan mempunyai pengalaman kerja yang relevan dalam industri, sekali gus membolehkan syarikat menerima tenaga kerja yang memenuhi keperluan dan memiliki kriteria serta kelayakan akademik dikehendaki.

“Menerusi BeST 2.0, Bioeconomy Corporation bukan setakat memadankan majikan dengan tenaga kerja, malah kami ingin melahirkan bakal usahawan berkemahiran dan bersemangat tinggi, celik teknologi, serta memenuhi keperluan industri moden, katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Khairul Fidzal berkata pertanian moden dan biofarmaseutikal diberi keutamaan dalam BeST 2.0 kerana bidang tersebut berperanan penting dalam menjamin keselamatan makanan dan kesihatan rakyat terutama ketika penularan wabak COVID-19, selain ia turut melibatkan penggunaan aplikasi teknologi moden.

Menurutnya BeST 2.0 juga dilihat mampu meningkatkan penglibatan belia dalam industri pertanian moden dan biofarmaseutikal, serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing selari dengan aspirasi kerajaan melahirkan tenaga kerja mahir rakyat tempatan khususnya daripada kalangan belia.

Program BeST 2.0 diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan disokong oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

— BERNAMA