BeST 2.0 Bolehkan Graduan Dapat Kerja Tetap

Kuala Lumpur: Sebanyak 79 peratus siswazah dan graduan program Kerjaya dan Keusahawanan Bio-Agrotek dan Bio-Farmaseutikal (BeST 2.0) berjaya mendapat pekerjaan tetap dalam dua bidang itu sejak dilancarkan pada September lalu.

BeST 2.0 dilaksanakan Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) membabitkan 63 peserta program terdiri daripada siswazah, graduan dalam dan luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak, berkata mereka ditempatkan di syarikat biofarmaseutikal atau pertanian moden sebagai perantis untuk menjalani latihan insaniah, teknikal serta latihan kerja selama enam bulan sebelum ditawarkan pekerjaan tetap.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 39 daripada 48 perantis (81.3 peratus) mendapat kerja dalam sektor pertanian dan akuakultur, manakala 11 daripada 15 perantis (73.1 peratus) kini berkhidmat dalam sektor biofarmaseutikal.

“Pencapaian itu. melangkaui sasaran Petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan bagi program BeST 2.0 pada 2021, iaitu lebih daripada 40 peratus bagi sektor pertanian dan akuakultur manakala lebih 60 peratus untuk sektor biofarmaseutikal.

“Pelaksanaan BeST 2.0 dapat mengurangkan masalah pengangguran golongan belia dalam kalangan siswazah dan graduan negara yang sukar memperoleh pekerjaan selain pendapatan setimpal dengan kelulusan bidang pengajian masing-masing, terutama pertanian moden serta biofarmaseutikal,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan syarikat swasta bagi membekalkan graduan dan siswazah dengan kemahiran, pengetahuan serta pengalaman kerja relevan dalam industri itu.

“Syarikat pula dibekalkan dengan tenaga kerja memenuhi keperluan industri dan kriteria serta kelayakan akademik yang dikehendaki.

“Menerusi BeST 2.0, Bioeconomy Corporation bukan sahaja menyediakan majikan dengan tenaga kerja, malah melahirkan bakal usahawan berkemahiran tinggi, celik teknologi, bersemangat tinggi dan memenuhi keperluan industri moden,” katanya.

Program BeST 2.0 diluluskan Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK 12) dan disokong Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Pelaksanaan BeST 2.0 dapat mengurangkan masalah pengangguran golongan belia dalam kalangan siswazah dan graduan negara yang sukar memperoleh pekerjaan” Ia adalah program di bawah unit. BioAcademy oleh Bioeconomy Corporation, susulan program BeST 1.0 yang dilancarkan pada 2007 bagi memastikan kesinambungan dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan industri bioteknologi serta berasaskan bio.

Mengulas lanjut, Mohd Khairul Fidzal berkata, pertanian moden dan biofarmaseutikal diberi keutamaan dalam BeST 2.0 kerana bidang itu berperanan penting menjamin keselamatan makanan serta kesihatan rakyat dan negara, terutama penularan pendemik COVID-19.

Katanya, kedua-dua bidang itu menggalakkan golongan belia menggunakan aplikasi teknologi moden dalam pekerjaan_ seharian, seterusnya menyokong pembangunan dan produktiviti negara.

“Program ini mampu meningkatkan pembabitan golongan belia dalam industri pertanian moden dan biofarmaseutikal, selain mengubah persepsi mereka terhadap bidang teknologi baharu dengan mengurangkan kebergantungan kerja asing dalam industri moden.

“Ini bertetapan aspirasi kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja tempatan, terutama dalam kalangan belia berinovatif dan berkemahiran serta berkemampuan tinggi, selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0),”

Katanya.