Bioeconomy Corporation Sasar 1,000 Peserta Dapat Pekerjaan

Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) menyasarkan untuk menempatkan antara 900 hingga 1,000 pekerja menerusi program Biokerjaya @ My Future Agro menjelang akhir tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, berkata setakat 30 Jun lalu, 489 individu yang menyertai program itu mendapat pekerjaan di 66 syarikat yang mengambil bahagian.

Katanya, ini menunjukkan kadar pengambilan pekerja melalui Biokerjaya adalah 49 peratus sejak program itu dilancarkan pada Oktober tahun lalu.

“Kami menjangka kadar ini meningkat dengan pembukaan semula lebih banyak aktiviti ekonomi apabila COVID-19 semakin pulih dan terkawal.

“Program ini juga diteruskan pada setiap tahun selepas berjaya mencatat kejayaan yang menggalakkan dalam membantu _individu mendapatkan pekerjaan,” katanya kepada BH ketika ditemubual secara maya baru-baru ini.

Biokerjaya @ My Future Agro dikendalikan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang mula dilaksanakan pada Oktober 2020, di bawah inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Program itu menggalakkan majikan untuk mewujudkan pekerjaan dan meningkatkan peluang pekerjaan khususnya dalam sektor bioteknologi, berasaskan bio, pertanian dan industri makanan setelah’ majoriti sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dan perniagaan kembali normal.

Biokerjaya juga menggalakkan syarikat untuk mengambil pekerja tempatan termasuk penganggur, lepasan sekolah, graduan dan individu yang diberhentikan kerja.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata, melalui program Biokerjaya, pemohon kerja tidak perlu memiliki latar belakang, pendidikanatau pengalaman dalam bidang bioteknologi mahupun berasaskan bio.

“Dengan menjalani latihan semasa bekerja selama enam bulan khusus melalui program Biokerjaya, pemohon dapat mempelajari dan menguasai kemahiran praktikal serta insaniah yang baharu dalam bidang saintifik ini.

“Jika majikan tidak bercadang untuk mengambil peserta sebagai pekerja tetap setelah program ini tamat, mereka tetap memperoleh pengalaman kerja berharga dan kemahiran baharu yang membolehkan mereka bekerja dalam bidang berkaitan bioteknologi dan berasaskan bio.

“Setakat 30 Jun lalu, 489 individu yang menyertai program ini mendapat pekerjaan di 66 syarikat yang mengambil bahagian”

“Mereka juga digalak menjadi agropreneur atau usahawan dalam bidang ini, manakala Bioeconomy Corporation akan membantu serta membimbing mereka untuk memohon pembiayaan mikrokredit setelah tamat latihan Biokerjaya,” katanya.

Iskandar berkata, menerusi program Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu-Sijil Kemahiran Malaysia (PPT-SKM), ia mengiktiraf kemahiran serta kepakaran calon pekerja berdasarkan bidang dan pengalaman mereka.

Katanya, ini dapat mengetengahkan keupayaan dan kebolehan calon pekerja dalam pasaran pekerjaan yang mencabar akibat COVID-19.

“Sebagai contoh, jika peserta yang mempunyai sekurang-kurangnya setahun pengalaman kerja sebagai pembantu makmal tisu kultur, mereka layak untuk mengiktiraf kemahiran dan kecekapan dalam pengurusan tisukultur di bawah Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) dan seterusnya mendapat sijil melalui PPTSKM,” katanya.